ANGGOTA polis dan tentera mengawasi orang ramai supaya mematuhi SOP di Pasar Pagi Bukit Kuda, Labuan, semalam.
ANGGOTA polis dan tentera mengawasi orang ramai supaya mematuhi SOP di Pasar Pagi Bukit Kuda, Labuan, semalam.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 40 individu sudah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10 orang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38 orang)," katanya.

Katanya, semalam 67,004 pemeriksaan dilakukan pasukan itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Selain itu, katanya, 3,744 Pasukan Pematuhan membuat pemantauan yang membabitkan seramai 16,675 anggota.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen daripada 69 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (Pati).

"Operasi Benteng yang membabitkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus," katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam Covid-19, beliau berkata, sebanyak 70 operasi sanitasi meliputi 43 zon di 11 buah negeri antaranya Sarawak (19 operasi), Melaka (14 operasi) dan Sabah (10 operasi) dijalankan dalam Ops Sanitasi Awam semalam.

Selain itu, katanya, seramai 281 rakyat Malaysia sudah pulang ke negara semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, China, Brunei, Pakistan, Vietnam serta wilayah Hong Kong.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu 278 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga lagi dibawa ke hospital.

Beliau turut memaklumkan, bermula 10 hingga 18 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan ke atas 6,719 individu di seluruh pintu masuk negara.

"Daripada jumlah itu, 6,696 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Dua puluh dua individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala satu individu lagi masih menunggu keputusan saringan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 2,287 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP.

Ismail Sabri berkata, pemeriksaan itu mendapati 2,247 premis mematuhi SOP yang ditetapkan dan 36 premis diberi nasihat manakala empat premis diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

Dalam pada itu katanya, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia CIDB semalam mendapati 56 tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan manakala dua tapak binaan gagal berbuat demikian dan diberi amaran sementara 15 tapak binaan tidak beroperasi.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP hingga semalam adalah 2,173 tapak binaan dan 419 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:01 AM