MOHAMAD Faizal menunjukkan durian Musang King yang dijual di Tapak Bazar Raya Pekan Tanjong Karang. FOTO Ihsan Pembaca.
MOHAMAD Faizal menunjukkan durian Musang King yang dijual di Tapak Bazar Raya Pekan Tanjong Karang. FOTO Ihsan Pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


"NIAT saya mahu semua penduduk merasai durian pada harga yang mampu dimiliki," kata kontraktor, Mohamad Faizal Abu Bakar, 39 yang menjual raja buah itu serendah RM5 sekilogram.

Katanya, dia mengambil durian daripada pembekal di luar Selangor yang mana durian kampung pelbagai gred diperoleh di Batu Kurau, Perak, manakala durian kahwin pula dari Raub dan Lipis, Pahang.

"Saya jual durian kampung pelbagai gred antara RM5 hingga RM15 sekilogram.

"Walaupun durian kampung tetapi isinya setanding durian gred tinggi," katanya yang berniaga di Tapak Bazar Raya, Pekan Tanjong Karang.

Mohamad Faizal berkata, pelbagai jenis durian kahwin lain turut dijualnya seperti Musang King, 101, D24, Udang Merah dan Montong.

"Harga durian kahwin contohnya Musang King gred B, saya jual pada harga RM38 sekilogram dan gred A pula RM48 sekilogram.

"Harga berubah dari masa ke masa. Apa yang penting, saya akan pastikan pelanggan berpuas hati mengeluarkan wang untuk menikmati durian," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Faizal dan peniaga durian lain meluahkan kebimbangan apabila harga buah itu dijangka mengalami kenaikan.

"Difahamkan, durian negara ini sudah boleh dieksport ke luar negara. Sekiranya ia berlaku, pasti harga akan naik mendadak akibat permintaan tinggi dan memberi kesan kepada pembeli.

"Saya dimaklumkan, beberapa negeri seperti Johor dan Pahang mula eksport buah ke negara jiran iaitu Singapura," katanya.

Katanya, musim durian pada kali ini dijangka lebih lama hingga September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 10:07 AM