Anggota bomba berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabit kemalangan di Jalan Stabai-Durin dekat Sibu malam tadi. Foto Norsyazwani Nasri
Anggota bomba berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabit kemalangan di Jalan Stabai-Durin dekat Sibu malam tadi. Foto Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

DUA maut selepas sebuah kereta dan lori membawa muatan kayu bertembung di Jalan Stabai-Durin dekat Sibu malam tadi.

Pemandu kereta yang hanya dikenali Yong dan penumpangnya, Mok Hoc Ming, 49, tersepit dalam kenderaan itu maut di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 9.04 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu bergegas ke lokasi.

"Kami bertindak mengeluarkan dahulu mangsa di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang berada dalam keadaan parah.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian," katanya hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dengan memotong pintu hadapan pemandu menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa itu juga kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum kedua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, ketika pihak tiba di lokasi didapati lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan sudah dialihkan dan tiada di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 10:30 AM