GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


WARGA emas cedera di lengan, paha dan badan selepas digigit anjing peliharaan, ketika berjalan ke bengkel kenderaan di Jalan Besar Paka, Dungun.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi kelmarin, menyebabkan lelaki berusia 83 tahun itu menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sumber berkata, warga emas itu diterkam anjing berkenaan yang tiba-tiba muncul dari arah belakangnya.

"Mangsa terkejut, cuba melarikan diri namun dia terjatuh dan diterkam anjing itu yang kemudian menggigit lengan, paha dan anggota badannya.

"Pemilik haiwan berkenaan datang ke lokasi kejadian untuk mendapatkan anjingnya dan turut memberikan sejumlah wang kepada mangsa sebagai kos rawatan.

"Namun, mangsa tidak berpuas hati kerana kecuaian pemilik haiwan itu yang tidak mengikat atau mengurung anjing berkenaan dan membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan haiwan peliharaan mencederakan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 4:34 PM