NURUL Rafidah diberi kejutan oleh ibu dan bapanya selepas lebih tiga bulan tidak dapat pulang ke kampung. FOTO Danial Saad
NURUL Rafidah diberi kejutan oleh ibu dan bapanya selepas lebih tiga bulan tidak dapat pulang ke kampung. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Kepulangan seorang jururawat dan suaminya ke rumah ibu bapanya di Taman Ara Indah, di Permatang Pauh disambut dengan kejutan sebiji kek bagi meraikan semula hari lahirnya yang jatuh pada 11 Jun lalu.

Sebelum itu, Nurul Rafidah Jaafar, 29, membuat kejutan kepada ibu bapanya dengan menghantar hadiah serta ucapan yang sarat dengan emosi hingga tular di media sosial.

Ini berikutan, anak sulung daripada dua beradik itu tidak dapat pulang ke kampung sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta komitmennya sebagai petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUITM).

Justeru, dia mengambil inisiatif menempah hadiah serta mengirimkan ucapan berkenaan melalui khidmat perancang kejutan sebelum kisah dan usahanya itu tular di media sosial.

Nurul Rafidah berkata, walaupun sudah berumahtangga pada Mac tahun lalu, dia tidak pernah berjauhan terlalu lama dengan ibu bapanya dan akan pulang melawat mereka seminggu sekali.

"Namun, disebabkan PKP serta tuntutan kerja menyebabkan saya tidak dapat pulang melawat mak dan abah, kali terakhir berjumpa mereka pada 16 Mac lalu.

"Saya memang susah nak berenggang dengan mak dan abah kerana bimbang dengan keadaan mereka apatah lagi mereka bukan seperti ibu bapa lain. Namun sepanjang tempoh itu mereka tinggal dengan adik lelaki saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Permatang Pauh, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai usaha Nurul Rafidah yang membuat kejutan untuk ibu bapanya sempena hari lahirnya.

Nurul Rafidah berkata, setiap kali tiba hari lahirnya tiba dia pasti akan meraikan bersama ibu bapanya.

"Memang setiap tahun saya yang akan buat kejutan sempena hari lahir saya kerana mahu berterima kasih kepada mak abah yang menjaga saya dari kecil walaupun keadaan mereka yang tidak nampak apa-apa.

"Mak tidak boleh melihat sejak lahir manakala abah pula mengalami masalah penglihatan ketika berusia dua tahun," katanya.

Katanya, sepanjang berjauhan, dia hanya berhubung dengan ibu bapanya melalui panggilan video.

"Saya tidak sangka pula kepulangan saya ke rumah hari ini dapat kejutan dan syukur sangat lebih tiga bulan saya akhirnya dapat bertemu, bersalam dan (dapat) peluk cium mak abah saya," katanya.

Sementara itu, ibunya, Hamidah Mustaffa, 57, berkata dia dan suaminya, Jaafar Hashim, 63, terkejut apabila dimaklumkan terdapat hadiah akan dihantar di rumahnya kerana menganggap ia taktik penjenayah yang cuba menipu.

"Selepas menyemak semula dengan anak baru saya dan suami percaya. Kami kena berhati-hati kerana kami tidak nampak dan zaman sekarang pula macam-macam berlaku bahkan saya sendiri hampir ditipu sindiket panggilan tidak wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 10:07 PM