Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


SEORANG wanita terkejut selepas mendapati wang simpanan RM22,000 lesap sebaik menyerah nombor pin perbankan atas talian miliknya kepada individu tidak dikenali lapan hari lalu.

Mangsa berusia 29 tahun berbuat demikian kerana terlalu takut ditangkap kerana kononnya terbabit dengan jenayah dadah dan pengubahan wang haram oleh ahli sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 17 Jun lalu, mangsa menerima panggilan daripada syarikat penghantaran memaklumkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad pengenalannya sudah dihantar ke Sabah, tetapi masih belum belum dituntut.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan terbabit disambungkan kepada pegawai polis yang dikenali Sarjan Roslan dari ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Menerusi percakapan itu mangsa diberitahu kononnya terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah, justeru akaunnya perlu segera dibekukan dan wang dalam akaun perlu dipindahkan.

"Namun, mangsa diingatkan supaya tidak memberitahu sesiapa dan tanpa berfikir panjang mangsa segera menyerahkan nombor pin perbankan miliknya," katanya, di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang dalam simpanan lesap.

Jelasnya lagi, mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan helah pihak tertentu yang terbabit dengan aktiviti menipu secara dalam talian, lapor segera kepada polis jika curiga dengan pihak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:29 PM