FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Noorazura Abdul Rahman


PELAKSANAAN ibadat korban di Kedah ini dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, jumlah kehadiran peserta pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan tempat.

"Ia bagi mengelak elemen sesak, sempit dan sembang dekat, sekiranya proses sembelih haiwan korban dilakukan di kawasan rumah, maka jumlah pengendali korban atau melapah daging perlu diminimumkan.

"Contohnya, ia mungkin boleh dilakukan dengan jumlah minimum lapan orang asalkan menjaga jarak sosial," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin serta lain-lain boleh dilaksanakan juga dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Bagaimanapun katanya, sebarang bentuk majlis jamuan dan kenduri tidak dibenarkan ketika ini.

"Untuk majlis jamuan di rumah individu yang melakukan ibadat korban kita akan bincang semula nanti, buat sementara waktu ini ia masih tidak dibenarkan.

"Kesemuanya tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JHEAIK," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan umat Islam di negara ini dibenar menjalankan ibadat korban pada Aidiladha hujung bulan hadapan.

Bagi Wilayah Persekutuan, ia hanya dibenarkan di masjid, surau atau kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa, manakala di negeri lain, tertakluk kepada Majlis Agama Islam masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 9:39 AM