ANTARA dadah yang dirampas polis susulan penahanan lima suspek termasuk wanita Korea. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA dadah yang dirampas polis susulan penahanan lima suspek termasuk wanita Korea. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


SINDIKET pengedaran dadah didalangi empat warga tempatan dan wanita Korea di Lembah Klang, yang dipercayai aktif setahun lalu, tumpas susulan penahanan mereka menerusi beberapa serbuan sejak Jumaat lalu.

Polis turut merampas sejumlah dadah, wang tunai, barang kemas dan pelbagai kenderaan bernilai RM641,572.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek yang diberkas termasuk ketua sindiket itu berusia 26 tahun.

Katanya, pihaknya menggerakkan operasi khas dengan serbuan bermula pada 9.40 malam Jumaat lalu, dan menahan wanita berusia 28 tahun di lobi parkir sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur bersama ganja seberat 10.10 gram (gm). "Siasatan lanjut membolehkan dua lagi lelaki berusia berusia 28 dan 18 tahun diberkas di sebuah rumah di kondominium di Jalan Ipoh pada 10.05 malam.

"Pemeriksaan menemukan serbuk dadah disyaki Methyl​enedioxy​methamphetamine (MDMA) seberat 549.05 gm; 147.10 gm ketamin; ganja (119.15 gm); 390 biji pil erimin 5 seberat 107.35 gm; dan 58 pil ecstasy.

"Turut dirampas wang tunai RM17,566, kereta BMW, Honda Civic, Nissan Teana, dan pelbagai barang kemas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mereka mendapati positif ketamin.

Katanya, dadah dirampas dipercayai untuk bekalan 823 penagih dan semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula Sabtu lalu.

"Soal siasat ke atas mereka membolehkan serbuan dibuat pada 3.45 pagi, Sabtu lalu di sebuah rumah di Jalan Persiaran Batu Caves, Selangor, dan menahan lelaki tempatan berusia 2 tahun dipercayai ketua sindiket dan wanita Korea berusia 22 tahun yang juga isterinya," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah menemui ketamin seberat 274.56 gm dan serbuk MDMA - 51.5 gram selain polis turut merampas Toyota Alphard, wang tunai berjumlah RM61,000 dan barang kemas.

Mereka yang tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah direman enam hari bermula semalam.

"Nilai rampasan dadah RM137,596.00, manakala wang tunai, kenderaan dan barang kemas berjumlah RM503,976," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 6:52 PM