X
Pemandu bot di Tasik Chini, Awang Kasim.STR/MOHD RAFI MAMAT
Pemandu bot di Tasik Chini, Awang Kasim.STR/MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PEMANDU bot pelancong di Tasik Chini berharap usaha menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke pusat pelancongan berkenaan dilakukan lebih serius.

Ini kerana pendapatan 12 individu yang menyediakan perkhidmatan bot mengelilingi 12 tasik air tawar seluas 5,084 hektar itu terkesan akibat ketiadaan pelancong.

Pemandu bot Kamarul Ariffin Mohd Salleh, 42 berkata pendapatan mereka terjejas teruk sejak beberapa tahun lalu berikutan ketiadaan pelancong datang ke Tasik Chini.

Menurutnya, pelancong seolah-olah tidak berminat datang ke tasik itu berbanding sebelum ini jumlah kehadiran pelancong tempatan dan asing begitu menggalakkan.

Katanya, ketiadaan produk baru di kawasan Tasik Chini antara faktor jumlah pelancong berkurangan.

"Sebagai contoh sekiranya terdapat kolam mandi dan taman permainan, ia mungkin dapat menarik minat pengunjung untuk datang bersama keluarga ke Tasik Chini ini.

"Kehadiran pelancong yang ramai seperti sebelum ini tidak lagi berlaku terutama dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia merayu kepada agensi berkaitan supaya mempergiatkan usaha promosi Tasik Chini kerana kempen Tahun Melawat Pahang yang diadakan sebelum ini seperti tidak memberi impak.

Rakannya, Awang Kasim, 60, berkata sumber pendapatan masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada aktiviti bot kini tidak berlaku kerana terlalu sedikit kehadiran pelancong.

Menurutnya, kerajaan perlu berusaha membantu aktiviti promosi Tasik Chini secara berterusan dan bukan dilakukan mengikut musim.

"Kegagalan berbuat demikian membuat pelancong semakin lupa tentang kewujudan Tasik Chini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:11 PM