GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan 13 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Thailand selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran pada serbuan yang dijalankan di sebuah hotel di Tampoi, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, bertindak atas risikan dan perkongsian maklumat, sepasukan polis Cawangan Anti Maksiat, Perjudian Dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara menjalankan serbuan, 8.30 malam di lokasi terbabit.

Katanya, polis menahan wanita itu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun dan merampas sejumlah kondom pelbagai jenama, 17 telefon bimbit serta wang tunai sejumlah kira-kira RM3,510 yang dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral itu.

"Siasatan mendedahkan bayaran sebanyak RM200 dikenakan bagi setiap langganan wanita terbabit yang menunggu di bilik masing-masing.

"Aktiviti ini dikesan dijalankan oleh wanita terbabit menerusi aplikasi Wechat sejak awal Jun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, butiran seorang lelaki tempatan yang dipercayai mendalangi aktiviti itu sudah dikenal pasti dan polis kini memburu suspek terbabit.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Kes juga boleh disiasat mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang jika sabit kesalahan boleh penjara tidak lebih enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 9:54 PM