Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO AMIR MAMAT
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO AMIR MAMAT


KERAJAAN Melaka hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada 7,553 penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, bantuan khas terbabit sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam khususnya kumpulan barisan hadapan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Katanya, bantuan itu akan dibayar pada akhir bulan ini.

"Pemberian bantuan itu juga bagi mengiktiraf sumbangan penjawat awam negeri dalam melaksanakan dasar kerajaan seperti memudahkan urusan rakyat Melaka sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, 18 Mac lalu.

"Selain itu, bantuan terbabit juga sebagai persediaan menyambut Aidiladha," katanya ketika menyampaikan amanat Ketua Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.

Sulaiman berkata, pemberian bantuan kewangan itu dibuat selepas mendapat pandangan serta permintaan penjawat awam susulan beberapa negeri lain sudah mengumumkan sumbangan terbabit sebelum ini.

"Saya baca dalam media sosial, saya dengar 'soseh-soseh' mengenai pemberian bantuan oleh kerajaan Persekutuan menjelang Aidilfitri lalu.

"Bagi menghargai jasa dan penat lelah penjawat awam khususnya barisan hadapan, saya mengumumkan bantuan khas kepada semua penjawat awam kerajaan negeri berjumlah RM500 setiap seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 1:05 PM