Pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan merampas produk penjagaan diri di sebuah premis di Wakaf Tengah, semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
Pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan merampas produk penjagaan diri di sebuah premis di Wakaf Tengah, semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
Baharom Bakar


SEORANG wanita yang memiliki dan menjual produk penjagaan diri tiruan menerima padah apabila terpaksa 'bermalam' di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP), di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih malang, wanita berusia 24 tahun dan memiliki premis penjagaan diri di Kampung Wakaf Tengah mungkin terpaksa bermalam dalam lokap apabila KPDNHEP akan mendapatkan perintah tahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mulai, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Nor Azmi Lamisza menjelaskan, wanita itu ditahan dalam satu serbuan ke premisnya kira-kira 10.30 pagi semalam.

Jelasnya, hasil pemeriksaan, sebanyak 20 pelbagai jenis produk penjagaan diri berjenama Faith Fleur disyaki tiruan dirampas.

"Wanita itu bukan sahaja melakukan kesalahan kerana memiliki produk tiruan, malah turut menjual bahan berkenaan sama seperti produk asal.

"Pegawai serta anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri yang melakukan serbuan itu merampas semua produk tiruan yang dianggarkan bernilai RM845 dan siasatan mengikut Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Nor Azmi menjelaskan, wanita itu boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 bagi setiap barangan dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 10:02 AM