X
Mohamed Farid Noh


LIMA puluh satu anggota 'Geng Otong' didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini terhadap pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing antara 2015 hingga tahun ini.

Kesemua tertuduh yang berusia 21 hingga 59 tahun itu membabitkan 19 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, tiga pemastautin tetap, 25 warga Indonesia termasuk seorang wanita selain dua lelaki Myanmar.

Mereka adalah anggota sindiket penyeludupan manusia membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan/transit selain transporter.

Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua 51 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Otong di Kota Tinggi antara Januari 2015 hingga Jun tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini untuk pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang. Foto Mohd Azren Jamaludin
Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini untuk pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang. Foto Mohd Azren Jamaludin

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya diketuai Idham Abd Ghani bersama Rohaiza Abd Rahman dan Izzat Fauzan.

Peguam Hassan Zaid dan Muzamil Hariri selain Datin S Freda dan Mohd Zubairi Salleh pula mewakili empat tertuduh.

Tiada sebarang jaminan diberikan oleh mahkamah terhadap kesemua tertuduh dan hakim kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula pada 27 Ogos depan.

Terdahulu kesemua 51 tertuduh dibawa empat trak dan sebuah van seawal 8.30 pagi ke Mahkamah Kota Tinggi.

Mereka dikawal ketat oleh puluhan anggota polis bersenjata dengan setiap tingkat turut ditempatkan anggota berkenaan bagi membuat kawalan prosiding selama satu jam itu, selain ahli keluarga dan orang ramai tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memantau perjalanan kes berkenaan di pekarangan mahkamah berkenaan.

Selasa lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: COVID 19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, operasi dilaksanakan secara serentak menerusi operasi khas, Op Pintas Selatan 2020 (Johor), Op Benteng Lintang (Perak) dan Op Arakan (Pulau Pinang) bermula 4 Jun sehingga 20 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 12:43 PM