TIGA lelaki yang didapati bersalah di Mahkamah Tinggi kerana menculik seorang wanita dan meminta wang tebusan RM400,000.FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TIGA lelaki yang didapati bersalah di Mahkamah Tinggi kerana menculik seorang wanita dan meminta wang tebusan RM400,000.FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

TINDAKAN tiga lelaki menculik seorang wanita dengan meminta tebusan RM400,000 terbalas selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan sebatan antara lima dan tujuh oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu hari ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan selepas kesemua tertuduh, Mohd Zairol Nizan Md Nor, 40; Mohd Khairul Anuar Musa, 42 dan Abdul Hadi Abu Bakar, 25, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding berjalan.

"Mahkamah mendapati ketiga-tiga tertuduh memberi keterangan lebih kepada penafian semata-mata dengan menafikan mereka ada di lokasi ketika kejadian.

"Namun pada masa sama, mereka gagal memaklumkan kepada mahkamah dan membuktikan secara jelas di mana mereka berada ketika kejadian.

"Jadi, mahkamah dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie kes di akhir pendakwaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menculik mangsa, Liyana Abdul Manaf, 31, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM400,000, di Simpang 3 Kampung Pisang, Tepoh, di sini jam 7.40 pagi pada 23 Januari 2017.

Abdul Wahab kemudian menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tujuh sebatan terhadap tertuduh, Mohd Zairol Nizan yang diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohd dan Alias Ibrahim.

Dua lagi tertuduh, Mohd Khairul Anuar dan Abdul Hadi yang masing-masing diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Firdaus Mohamad Yusuf dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan lima sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula tarikh masing-masing ditangkap iaitu 14 Mac dan 1 April 2017 bagi tertuduh, Mohd Zairol Nizan dan Mohd Khairul Anuar manakala Abdul Hadi pada 8 Disember 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumah selepas bersarapan di kedai berhampiran sebelum ditahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dibawa ke beberapa tempat.

Mangsa hanya dilepaskan dengan selamat pada jam 1.30 pagi pada 24 Januari 2017 selepas wang tebusan sebanyak RM400,000 dibayar majikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 1:50 PM