CAROLINA (kanan) bersama anaknya. Azrina (kiri) perunding unit amanah.
CAROLINA (kanan) bersama anaknya. Azrina (kiri) perunding unit amanah.
Sri Ayu Kartika Amri


"ANAK ada bertanya bila boleh pergi ke sekolah semula, namun saya faham mengenai kekangan dihadapi pihak sekolah," luah suri rumah, Carolina Jolonius, 47.

Dia yang mempunyai seorang anak menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) berkata, sebagai ibu dia sudah bersedia jika pihak sekolah membenarkan murid istimewa untuk mula bersekolah semula.

"Cadangan saya agar sekolah dibuka kepada murid istimewa yang pandai menguruskan diri sebab kanak-kanak istimewa ini mempunyai pelbagai kategori.

"Bagi murid sukar diuruskan, lebih baik jangan hantar dulu ke sekolah kerana kita memahami kesukaran mereka untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, seperti di sekolah anaknya (Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana), bagi pendidikan khas satu kelas mempunyai lebih 60 murid, oleh itu agak padat jika sesi pembelajaran dibuka.

"Anak saya berada di darjah empat dan agak mustahil melakukan penjarakan sosial apabila semua murid datang serentak dan ada anak istimewa sukar dikawal.

"Bagaimanapun, saya sangat berharap keadaan akan kembali normal kerana saya faham anak sudah bosan tinggal terlalu lama di rumah," katanya.

Perunding unit amanah, Azrina Ismail, 40, berkata buat masa ini guru dan pihak sekolah belum memberi apa-apa maklumat.

Bagaimanapun, dia sentiasa bersedia jika sesi pembelajaran untuk pendidikan khas dibuka seperti biasa.

"Pada pandangan saya, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih sistematik dan berkesan berbanding ibu bapa mengajar sendiri," katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, pembukaan sekolah bermula 15 Julai ini adalah keputusan tepat dibuat kerajaan.

Beliau berkata, keputusan itu melegakan banyak pihak terutama ibu bapa yang terperangkap dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tumbesaran anak.

"Kami yakin semua logistik prasarana dan kemudahan sekolah telah siap siaga untuk dimanfaatkan oleh pelajar bila-bila masa.

"Cuma masalahnya adalah pada pihak pelajar dan ibu bapa yang datang wajib patuh kepada semua SOP dan arahan demi kesihatan keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain untuk belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 10:30 PM