ANAK Seladang berwarna coklat yang dilahirkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak.
ANAK Seladang berwarna coklat yang dilahirkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEEKOR anak seladang 'pelik' selamat dilahirkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anak seladang betina itu dilahirkan tepat jam 8 pagi, 21 Jun lalu, di PHKL Sungkai oleh pasangan seladang dewasa dinamakan Tin dan Ara.

Menurutnya, ketika dilahirkan, berat anak seladang itu dianggarkan sekitar 15 kilogram dan didapati sihat serta aktif.

"Berbeza dengan seladang yang kebiasaan mempunyai kulit berwarna hitam, uniknya anak seladang dilahirkan ini mempunyai kulit coklat cerah.

"Anak seladang ini kemudian dirawat dan dimasukkan cip mikro (ID) di dalam tubuhnya. Anak seladang itu kemudian diberikan nama Tinara. Pemantauan 24 jam dilakukan ke atas anak seladang itu bagi memastikan haiwan itu dalam keadaan selamat dan sihat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai, Perak, Cosmas Nga berkata, anak seladang itu dilahirkan secara normal oleh ibu haiwan itu yang berusia empat tahun.

"Ibu seladang itu sebelum ini dilahirkan di PKHL Sungai pada tahun 2016. Seladang biasanya akan melahirkan anak sendiri tanpa bantuan kakitangan.

"Keadaan agak berisiko bagi kakitangan Perhilitan untuk membantu berikutan Seladang jantan akan melindungi seladang betina yang mahu melahirkan anak," katanya.

Menurutnya, seramai tiga kakitangan Perhilitan memantau dan menjaga anak seladang itu selama seminggu bagi memastikan anak Seladang itu benar-benar sihat dan dijaga ibunya.

"Seladang hidup dalam berkumpulan dan amat menjaga keluarganya terutama dalam kalangan Seladang jantan. Haiwan liar dilindungi ini adalah spesies yang mudah mengalami tekanan perasaan terutama ketika di dalam kurungan.

Difahamkan seladang dewasa atau turut dikenali sebagai Kerbau Tanjung, Kerbau Air Liar Asia dan bison mampu mencecah berat sehingga hampir 1 tan seekor.

Pada November lalu, seekor anak tapir jantan dilahirkan di PKHL Sungai Dusun, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:56 PM