X
Norsyazwani Nasri


SEORANG lelaki warga Brunei yang dikenali 'Mimie' dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah Limbang, diburu polis.

Kegiatan Mimie terbongkar menerusi tangkapan dua suspek lelaki tempatan berusia 29 dan 45 tahun oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah(BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Limbang 1.30 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek yang ditahan di jalan berhampiran sungai, di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Rangau mengaku mendapat bekalan dadah daripada lelaki terbabit.

"Pegawai dan anggota membuat pemeriksaan terhadap dua suspek. Salah seorang daripada mereka menyerahkan beg galas berwarna biru kepada pihak polis.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dua peket plastik berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat 5.03 gram bernilai RM 750," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah dengan berjumpa lelaki terbabit di kawasan perairan Kampung Limpaku Pinang.

"Kedua-dua mereka turut mengaku dadah yang dibeli adalah untuk kegunaan sendiri.

"Hasil risikan anggota BSJN Limbang di dapati Mimie tinggal di Kampung Limpaku Pinang, Limbang, dan bergiat aktif dalam aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata, tindakan untuk mengesan dan menangkap lelaki yang bernama Mimie akan dilaksanakan secepat mungkin bagi membanteras pengedaran dadah khususnya di daerah Limbang.

"Kedua-dua suspek kini ditahan dalam lokap Balai Polis Pusat Limbang untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen15 (1) (a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 4:50 PM