X
PEMANDU teksi di Melaka amat merasaikan kesukaran meraih penumpang sepanjang Pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PEMANDU teksi di Melaka amat merasaikan kesukaran meraih penumpang sepanjang Pandemik Covid-19. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


JUMLAH pemandu teksi di seluruh Melaka turun dari 1,028 kepada 805 ketika ini, kata Yang Dipertua Gabungan Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Negeri Melaka, Zulkiflie Baharom.

Menurutnya, punca sebenar penurunan itu tidak dapat dipastikan, tetapi tidak menolak kemungkinan akibat pandemik Covid-19.

"Pandemik Covid 19 antara faktor pemandu teksi di negeri ini kurang aktif.

"Malah, sambutan yang dingin kepada penggunaan teksi antara cabaran yang perlu dihadapi, selain persaingan dengan e-hailing, bas dan sistem pengangkutan lain," katanya.

Sementara itu, Zulkiflie berkata, seramai 805 pemandu teksi di Melaka bersyukur selepas kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan bayaran caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Katanya, langkah itu membolehkan kesemua pemandu teksi di negeri itu dilindungi jika berlaku kemalangan ketika bekerja termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal dan faedah pemulihan.

"Bantuan pembayaran caruman tahunan RM157.20 kepada setiap pemandu teksi diperuntukkan sejak 2019 dan bagi tahun ini ia dalam proses akhir untuk dicarum kepada Perkeso.

"Sebelum ada bantuan ini, kira-kira 25 hingga 30 peratus sahaja pemandu teksi yang membuat caruman," katanya hari ini.

Dalam pada itu, Zulkiflie berkata, pihaknya turut berharap kerajaan meneruskan moratorium pembayaran balik pinjaman yang akan berakhir September ini kepada pemandu teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 4:57 PM