X
LOKASI perjudian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI perjudian. FOTO Ihsan Polis
Rosli Ilham


POLIS menahan 28 lelaki termasuk dua warganegara Indonesia selepas terbabit dengan aktiviti perjudian laga ayam di Jalan Ibok Ayer Jernih, Kemaman, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari.

Menurutnya, bertindak atas aduan awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat pemantauan di situ kira-kira 15 minit.

"Hasil pemantauan, kita dapati satu kumpulan berada di gelanggang laga ayam dan satu kumpulan lagi berada di meja ping pong.

"Kita kemudian menahan kesemua suspek dan merampas empat ayam laga, "katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati penganjur perjudian itu adalah seorang penduduk di situ yang berusia 40 tahun.

"Penganjur mendakwa sudah beroperasi di situ hampir satu tahun dan tempat perjudian itu adalah kawasan rumahnya.

"Lelaki terbabit akan mendakwa dia akan mendapat komisyen daripada perjudian itu dan aktiviti perjudian itu diadakan setiap Jumaat, dua kali sebulan, "katanya.

Katanya, siasatan polis juga mendapati aktiviti perjudian itu membabitkan antara 15 hingga 20 penonton dan kebanyakannya dari Kemaman.

" Kesemua mereka termasuk barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 8:13 AM