X
 TAMBAK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TAMBAK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Omar Ahmad


KERAJAAN perlu memikirkan cara yang sesuai dan berkesan supaya tempoh kuarantin dipendekkan sekiranya sempadan negara dengan Singapura dibuka kelak.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, langkah itu bagi memastikan ekonomi kedua-dua negara kembali berjalan rancak, namun dalam masa sama dapat mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, jika semua yang masuk melalui sempadan dikehendaki dikuarantin selama 14 hari, ia boleh melambatkan pemulihan ekonomi kedua negara.

"Kerana dalam tempoh kuarantin mereka perlu berkurung sama ada dalam rumah atau hotel sedangkan kita tahu kebanyakan individu yang mahu merentas sempadan mempunyai kepentingan ekonomi.

"Maka kerajaan perlu mencari jalan untuk membuat ujian Covid-19 ini yang memberikan keputusan sama ada positif atau negatif dengan cepat dan tepat. Tidak perlu kuarantin lama", katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Michael Tay, dalam menyaring suhu di sempadan, penguat kuasa perlu tegas dengan tidak membenarkan mereka yang tidak sihat lepas masuk.

"Sekiranya mereka yang hendak masuk sempadan, perlu sihat. Jika ada yang cuba masuk dalam keadaan tidak sihat atas alasan apa pun, tidak boleh dibenarkan kerana ia adalah risiko.

"Kita perlu gunakan teknologi yang paling canggih dan maju untuk kajian Covid-19," katanya.

Proses rundingan mengenai pembukaan pintu sempadan antara Malaysia dan Singapura masih belum mencapai kesepakatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini Singapura masih belum membuka pintu sempadan kepada rakyat Malaysia masuk ke negara berkenaan.

Katanya, kerajaan Singapura turut menetapkan syarat supaya mempunyai sijil 'fit to travel' dan keputusan saringan Covid-19 untuk masuk ke negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 12:17 PM