TANGKAP layar laporan dokumentari Al Jazeera
TANGKAP layar laporan dokumentari Al Jazeera
Omar Ahmad


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan laporan saluran berita antarabangsa, Al Jazeera berhubung dakwaan wujud isu perkauman terhadap warga asing ketika negara mengendalikan pendemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata laporan dokumentari itu tidak benar kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan Covid-19.

Menurutnya, langkah saringan yang dijalankan adalah tindakan bagi mengawal penularan wabak itu daripada terus menjangkiti orang lain.

"Laporan berita Al Jazerra itu tidak benar dan perlu disangkal.

"Menyelamatkan warganegara atau bukan warganegara adalah tindakan di bawah Akta 342 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu menangani wabak Covid-19.

"Apa yang kita buat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ialah perlu memastikan semua yang dikesan (Covid-19), disaringkan dan diasingkan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelitup Muka serta Sabun Antiseptik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, di Kota Tinggi, hari ini.

Adham berkata isu tersebut perlu diperbetulkan kerana ia membabitkan imej negara.

"Kita perlu perbetulkan dakwaan ini. Kerajaan melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri perlu membetulkan dakwaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dokumentari Al Jazeera yang bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 4:50 PM