X
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


JANJI palsu ditabur lelaki yang dikenali melalui aplikasi perkenalan dalam talian menyebabkan seorang wanita menanggung hutang along mencecah RM400,000.

Wanita berusia 58 tahun itu pada awalnya tertarik dengan tawaran keuntungan perniagaan yang dijanjikan lelaki itu mendorongnya meminjam wang daripada tiga ceti haram.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wong itu memaklumkan dia mengenali lelaki terbabit melalui aplikasi perkenalan dalam talian pada Februari lalu dan selepas lebih sebulan, lelaki itu mengajaknya menyertai projek perniagaan bersama sebuah syarikat minyak dan galian dengan keuntungan lumayan.

"Saya tertarik dengan tawaran itu dan meminjam wang sebanyak RM90,000 daripada along pada Mac lalu.

"Malah, saya memberi jaminan kepada along terbabit untuk membuat pembayaran dengan kadar faedah lebih tiga kali ganda iaitu sebanyak RM200,000 kerana pada mulanya yakin untuk membayarkan jumlah berkenaan berdasarkan keuntungan lumayan dijanjikan lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA.

Wong berkata, dia kemudian menyerahkan wang pinjaman itu kepada lelaki terbabit melalui akaun milik seorang lelaki tempatan.

"Pada mulanya, saya tidak mengesyaki lelaki itu menipu saya kerana kami kerap berhubung. Saya juga merahsiakan perkara ini (meminjam wang dengan along) daripada keluarga.

"Bagaimanapun, masalah itu semakin serius apabila saya terpaksa meminjam dengan dua lagi along bagi menutup hutang terdahulu sehingga jumlah hutang mencecah RM400,000.

"Keadaan saya yang tertekan ketika itu menyebabkan ada ahli keluarga tampil bertanyakan mengenai masalah menimpa dan saya menceritakan perkara berlaku kepada mereka sebelum menyedari ditipu," katanya.

Bagaimanapun, dia yang bekerja di sebuah syarikat logistik bernasib baik apabila berjaya menyelesaikan hutang dengan tiga Ah Long terbabit dengan bayaran RM160,000 hasil bantuan Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.

Sementara itu, Michael berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan ketiga-tiga along terbabit bagi membantu Wong menjelaskan hutang dengan bayaran pada jumlah pinjaman asal serta tambahan sedikit sahaja kadar faedah.

"Dalam kes ini, mangsa juga menjadi penipuan sindiket Love Scam yang mendorongnya meminjam sejumlah wang kepada ceti haram sehingga dia terpaksa menanggung bebanan hutang yang besar.

"Justeru, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dalam urusan pemberian wang kepada individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 4:56 PM