X
SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 32, Jalan Sungai Koyan  Pos Betau.  FOTO Ihsan IPD Lipis
SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 32, Jalan Sungai Koyan Pos Betau. FOTO Ihsan IPD Lipis
Roselan Ab Malek


LELAKI maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi terbabas ketika berkonvoi bersama rakan di Kilometer 32 Jalan Sungai Koyan, Pos Betau di Lipis, hari ini.

Kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika mangsa, Mohd Fadzly Abd Hamid, 40, menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highland.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, sebaik tiba di laluan berselekoh di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa jatuh ke dalam longkang lalu melanggar kepala longkang di bahu kiri jalan dan melambung sejauh lima meter.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Segamat, Johor menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Ninja H2R.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 8:36 PM