X
SUHAIMI meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
SUHAIMI meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Jalan Bukit Kachi, Kubang Pasu di Sintok, hari ini.

Dalam kejadian 3.10 petang, Suhaimi Ismail, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan.

Katanya, pada masa yang sama, sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 42 tahun tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan.

"Pemandu lori berusia 39 tahun itu dan penunggang motosikal itu tidak mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun, penunggang motosikal (Suhaimi) meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 10:49 PM