X
MUHYIDDIN menyampaikan amanat kepada kira-kira 250 kakitangan dan pegawai JPM pada Perjumpaan Bulanan pertamanya sejak menerajui kerajaan, Mac lalu. FOTO Bernama
MUHYIDDIN menyampaikan amanat kepada kira-kira 250 kakitangan dan pegawai JPM pada Perjumpaan Bulanan pertamanya sejak menerajui kerajaan, Mac lalu. FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki


USAHA dan tindakan yang diambil kerajaan bakal menentukan sama ada unjuran Bank Dunia bahawa Malaysia bakal menjadi antara negara pertama yang ekonominya pulih pada penghujung tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam usaha memulihkan ekonomi negara berbanding negara lain yang lebih lambat menangani masalah penularan Covid-19, ia banyak bergantung kepada usaha yang akan dilakukan termasuk ketegasan dan kecepatan membuat keputusan yang tepat.

Beliau berkata, negara kini berdepan tempoh kritikal dalam perlumbaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

"Saya telah memberitahu kepada jemaah Menteri, sebagai contoh, walaupun Malaysia sudah hampir selesai menangani masalah Covid-19, insyaAllah, jauh agaknya lebih cepat daripada sesetengah negara, contoh negara jiran kita.

"Tetapi janganlah dengan sebab karenah birokrasi dan permasalahan yang kita hadapi di peringkat pentadbiran maka negara yang kebelakang boleh sedia ke depan daripada kita dari segi proses pemulihan. Mereka pulih lebih awal berbanding kita. Ini tidaklah satu contoh yang baik.

"Yang penting bagi kita situasi ekonomi kita dalam tempoh yang agak sesuai dapat kita kembalikan semula. Unjuran Bank Dunia mengatakan mungkin Malaysia menjadi antara negara pertama yang dikatakan kembali pulih dengan kadar pertumbuhan 5.6 peratus pada hujung tahun 2021," katanya ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 250 kakitangan dan pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perjumpaan Bulanan pertamanya sejak menerajui kerajaan pada Mac lalu.

Muhyiddin berkata, cabaran yang perlu digalas, bukan hanya pada bahunya atau jemaah Menteri Kabinetnya serta kakitangan Kerajaan Persekutuan semata-mata sebaliknya ia juga menjadi tanggungjawab di peringkat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 10:54 AM