DATUK Dr Mohd Asri Zainul Abidin. FOTO Yazit Razali
DATUK Dr Mohd Asri Zainul Abidin. FOTO Yazit Razali
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


UMAT Islam di dalam negara ini disaran meneliti terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana penganjuran korban Aidiladha yang didakwa dilakukan Makkah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pihak berkaitan perlu meneliti perkara berkenaan memandangkan situasi ibadah korban di Makkah begitu berbeza ketika ini.

Jelasnya, setiap tahun lambakan daging korban di Makkah berlaku sehingga pihak berkuasa Arab Saudi terpaksa menguruskan pengagihannya dengan lebih sistematik.

"Setiap tahun, berlaku lambakan daging sembelihan haji di Mekah sehinggakan kerajaan Arab Saudi terpaksa uruskan untuk dihantar ke negara lain yang memerlukan.

"Jika tidak, akan berlaku pembaziran," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mohd Asri berkata, beliau khuatir dan timbul pelbagai persoalan di dalam fikirannya apabila didatangi sesetengah pihak yang mendakwa menguruskan penganjuran ibadah korban di sana.

"Apabila ada pihak tertentu memaklumkan kepada saya tentang cadangannya untuk membuat sembelihan korban di Makkah sedangkan dia di Malaysia, saya agak tertanya-tanya. Banyak persoalan yang timbul di fikiran.

"Dengan rendah diri, ingin saya mencadangkan elok sesiapa yang terlibat semak dengan teliti," katanya.

Sebelum ini, timbul persoalan apabila sebahagian pihak mendakwa menguruskan penganjuran ibadah korban di Makkah sedangkan pihak terbabit menetap di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 12:16 PM