AFP

SEOUL: Ratusan dron memenuhi langit malam Seoul, pada Sabtu dalam persembahan luar biasa bagi menyebarkan mesej kesedaran dan motivasi ketika dunia masih berperang dengan pandemik koronavirus.

Sebanyak 300 alat berteknologi itu diprogramkan untuk menyiarkan imej di atas Sungai Han yang mengalir ke ibu negara Korea Selatan, sekali gus mewujudkan pemandangan menarik.

Persembahan bermula dengan mesej mengingatkan penduduk supaya mengambil langkah pencegahan secara serius termasuk memakai pelitup muka, membasuh tangan dan mengekalkan jarak sosial dua meter.

Dron itu membentuk imej pelitup muka yang dikelilingi zarah koronavirus yang kemudian berubah dengan cepat untuk membentuk dua tangan dan titisan air di langit gelap.

Persembahan 10 minit itu juga menyampaikan penghargaan kepada petugas perubatan dalam barisan hadapan atas usaha kolektif mereka dalam merawat pesakit Covid-19 negara itu.

"Terima kasih kepada anda semua," siaran dron itu di udara bersama imej bentuk hati, sementara satu mesej lagi berserta siluet semenanjung Korea, "Bergembiralah, Republik Korea."

Kementerian Pengangkutan negara itu berkata, acara berkenaan yang dianjurkan pada Sabtu tidak diuar-uarkan kerana mengambil kira peraturan penjarakan sosial.

IMEJ memaparkan mesej penjarakan sosial sempena pencegahan Covid-19 di langit Seoul. FOTO AFP.
IMEJ memaparkan mesej penjarakan sosial sempena pencegahan Covid-19 di langit Seoul. FOTO AFP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 2:39 PM