BANDARAYA Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP
BANDARAYA Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

SEBANYAK 80 peratus kes demam denggi di negeri ini direkodkan berlaku di daerah Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan, berkata punca utama Johor Bahru menjadi penyumbang terbesar pembiakan aedes berpunca daripada kebersihan premis kediaman dan persekitaran yang tidak dijaga rapi.

"Sehingga Sabtu lalu iaitu 4 Julai (Minggu Epidemiologi 27), terdapat 4,330 kes denggi dan 18 kematian dilaporkan di daerah Johor Bahru.

"Johor Bahru menjadi penyumbang utama kes penyakit demam denggi dengan mencatat sebanyak 80 peratus dari keseluruhan kes penyakit demam denggi di Johor.

"Sebanyak 86 lokasi yang masih melaporkan wabak demam denggi secara aktif, di mana 40 lokasi wabak berada di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru ( MBJB) , 21 lokasi wabak di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan 25 lokasi wabak di kawasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) .

"Lokaliti Flat Tasek 64 Bandar Sri Alam pula melaporkan wabak penyakit demam denggi berulang sepanjang empat tahun lalu dengan empat kejadian wabak pada tahun ini sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Program Walkabout Denggi Bersama Pemimpin dirancang bagi menangani situasi penyakit demam denggi di daerah berkenaan.

Katanya, ia selaras dengan komitmen kerajaan Johor untuk melaksanakan Kempen Johor Perangi Denggi.

"Program Walkabout Denggi bersama saya akan diadakan esok adalah di Flat Tasek 64 Bandar Sri Alam, Pasir Gudang, dekat sini," katanya.

Beliau berkata, walaupun tindakan kawalan denggi dilaksanakan kerajaan Johor setiap kali berlakunya wabak, punca penularan masih tetap berlaku dan berulang.

"Masyarakat tidak seharusnya memandang remeh kepada penyakit demam denggi kerana ia penyakit berjangkit yang berisiko menyebabkan kematian.

"Sebagaimana orang ramai sekarang berjaya melakukan norma baru dalam mengekang wabak Covid-19, perkara yang sama adalah sangat perlu terutama perubahan tingkah laku perlu dilakukan dalam mencegah diri dijangkiti penyakit demam denggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:04 PM