X
LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Zuhainy Zulkiffli


PENEMUAN seketul tulang dan longgokan baju di Jalan Batu Gantung, Georgetown, dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan seorang wanita warga Australia, Annapuranee Jenkins sejak 13 Disember 2017.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tulang terbabit ditemui seorang lelaki berusia 30 tahun ketika melakukan kerja lanskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lalu.

Menurutnya, tulang dan longgokan baju yang sudah lama ditinggalkan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran keesokan harinya oleh lelaki itu.

"Siasatan terhadap barangan terbabit mendapati ia mempunyai kaitan dengan kehilangan warganegara asing itu di daerah ini.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap tulang berkenaan mendapati ia adalah tulang manusia, " katanya, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pihaknya sedang menunggu pihak kedutaan negara berkenaan untuk menyerahkan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga mangsa bagi tujuan perbandingan.

"Dalam kes ini, pihak polis tidak pernah menghentikan siasatan dan ia dijalankan secara berterusan.

"Semua petunjuk baru yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan mangsa, " katanya lagi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Jenkins, 65, keluar dari bilik hotel untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke rumah kebajikan Little Sister of The Poor, Batu Lancang dekat Air Itam, selepas selesai rawatan.

Ketika dalam perjalanan, wanita itu meminta pemandu Uber memberhentikannya di lampu isyarat di Jalan Scotland namun demi keselamatan, pemandu terbabit memberhentikan kenderaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ramakrisha.

Jenkins dilaporkan hilang sejak itu sebelum suami mangsa membuat laporan polis.

Berita berkaitan

Diselubungi misteri

Wanita hilang selepas ke klinik gigi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:23 PM