X
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


KERAJAAN negeri Johor memohon peruntukan bantuan kewangan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan bagi menjana semula ekonomi negeri itu selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu dilihat penting terutama kepada perusahaan industri kecil dan sederhana (SME) di negeri ini yang terbabit dalam sektor pembuatan.

Katanya, sektor pembuatan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri ini.

"Kita juga menyedari bahawa bidang SME adalah sektor yang penting untuk kita gerak dan bangunkan. Ahli mesyuarat Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) mencadangkan bahawa kerajaan negeri mengusahakan peruntukan dari kerajaan Persekutuan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk memastikan keberkesanan dalam usaha merancakkan ekonomi dalam sektor pembuatan.

"Ini perkara yang kerajaan negeri perjuangkan. Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan Kementerian Kewangan untuk memberi gambaran mengapa kerajaan negeri memerlukan peruntukan bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM1 bilion berasaskan kepada potensi dalam sektor pembuatan untuk kita tingkatkan", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pertama IJEC yag berlangsung lebih tiga jam di Hotel Jen, di sini, hari ini.

DATUK Ir Hasni Mohammad. FOTO Zain Ahmed
DATUK Ir Hasni Mohammad. FOTO Zain Ahmed

Jelas Hasni, IJEC berperanan mengenal pasti isu semasa dan merangka hala tuju strategik, polisi dan pelan tindakan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Katanya, ia juga bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, dinamik dan komprehensif menerusi penerokaan sumber ekonomi baru dan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.

"IJEC juga berperanan mengenalpasti dan mengemukakan strategi dan cadangan bagi mengelakkan pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.

"Selain mengenalpasti langkah yang wajar bagi mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global dan penularan wabak COVID-19 kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Serta merangka usaha dan inisiatif yang relevan berdasarkan kepada hasil kajian Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 dan memastikan pelaksanaan inisiatif secara berkesan", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 4:46 PM