Redzuan Muharam


BUKAN hanya diganggu dan diugut samseng tetapi usahawan pencuci baju, Ng Ka Keat turut menanggung kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya seorang lelaki yang kononnya mahu membantu menjadi perantara melangsaikan baki hutangnya dengan 10 ceti haram atau 'along'.

Ng, 31, menjadi mangsa selepas memindahkan wang berkenaan menerusi beberapa transaksi ke akaun seorang lelaki dikenali Rick Lim.

Rick berjanji membantu menyelesaikan masalahnya dengan bantuan seorang lelaki dikenali Simon Wong tetapi tidak berbuat demikian hingga Ng berterusan menerima gangguan dan ugutan daripada samseng yang dipercayai diupah along.

" Pada Februari 2018, saya membuat pinjaman RM775,000 daripada 10 Ah Long kerana memerlukan wang untuk membuat pusingan perniagaan ketika itu.

" Selepas ditolak dengan faedah, saya menerima wang sebanyak RM609,500 hasil pinjaman berkenaan dan sudah melangsaikan sebahagian hutang iaitu RM580,000.

" Namun, kesemua ah long terbabit tetap menuntut bayaran penuh tetapi saya gagal berbuat demikian dan ia menyebabkan mereka mengupah samseng untuk mengugut dan mengganggu saya sekeluarga dengan datang ke rumah serta kilang kami," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ng, samseng berkenaan datang membuat onar sejak pertengahan tahun lalu dengan pelbagai cara antaranya menjerit di hadapan rumah serta membaling tin minuman.

Tertekan dengan keadaan itu, Ng cuba mendapatkan bantuan Rick dengan harapan dapat membantu menyelesaikan masalahnya.

"Saya pernah bertemu dengan Rick dan dia yang mencadangkan nama Simon untuk berunding dengan ah long terbabit berhubung hal pembayaran semula hutang.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah bertemu dengan Simon sebaliknya hanya diminta memindahkan wang ke akaun Maybank atas nama Lim Jun Yen.

" Kerana terdesak, saya sanggup meminjam wang daripada keluarga, rakan dan bank dengan nilai dipindahkan adalah sebanyak RM1.2 juta dan pada 28 Jun lalu, Simon meminta lagi RM138,000 serta mengugut mencari samseng mengganggu saya jika tidak memenuhi permintaannya," katanya.

NG pada sidang media pengalamannya ditipu seorang individu hingga kerugian RM1.2 juta di Wisma MCA. FOTO ROHANIS SHUKRI.
NG pada sidang media pengalamannya ditipu seorang individu hingga kerugian RM1.2 juta di Wisma MCA. FOTO ROHANIS SHUKRI.

Tidak tahan dengan ugutan diterima, Ng akhirnya membuat aduan kepada Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA Datuk Seri Micheal Chong sebelum membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini pada 30 Jun lalu.

"Saya pernah membuat laporan di Balai Polis Kepong dan Sri Petaling sebelum ini atas nasihat keluarga. Baru-baru ini, saya tampil lagi membuat laporan dan mengharapkan kerjasama pihak polis untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Micheal berkata, pihaknya menerima aduan daripada Ng pada 30 Jun lalu dan sudah menasihatkan lelaki berkenaan membuat laporan polis.

Katanya, buat masa ini, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Sebanyak 155 kes direkodkan dari Januari hingga kini membabitkan 1,298 Ah Long dengan nilai RM11,402,263.

" Nasihat saya adalah supaya orang ramai berhati-hati dengan tidak sesekali membuat pinjaman dengan Ah Long atau menggunakan orang tengah untuk melangsaikan hutang kerana tindakan itu boleh mengancam nyawa mereka,"'katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 3:16 PM