SIVAMURUGAN PANDIAN
SIVAMURUGAN PANDIAN
Yusmizal Dolah Aling


PEMERHATI politik tidak menolak kemungkinan berlaku pilihan raya umum peringkat parlimen terlebih dahulu selepas mengambil kira sentimen serta momentum sokongan kepada kerajaan ketika ini.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, walaupun daripada segi tradisinya agak janggal, pengasingan kedua-dua pilihan raya di peringkat parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) masih boleh berlaku jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, jika keadaan itu berlaku, lanskap politik negara akan memperlihatkan berlakunya perubahan daripada segi amalan sebelumnya dengan rakyat akan mengundi dua kali bagi menentukan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Ini boleh berlaku kerana jika Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan atas nasihat Perdana Menteri, maka ia akan berjalan seperti mana juga biasa. Cuma selepas berlaku satu proses pilihan raya, rakyat akan berdepan lagi proses di peringkat negeri pula.

"Di peringkat negeri Sarawak, itu yang berlaku apabila pilihan raya negeri dijalankan secara berasingan. Sebelum ini juga pernah disebut-sebut mengenai pilihan raya secara berasingan, tetapi penyudahnya negeri juga membubarkan Dun mengikut persekutuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas desas-desus yang berlegar dalam kalangan orang politik kebelakangan ini mengenai kemungkinan pilihan raya diadakan secara berasingan.

Ia timbul selepas difahamkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan dikatakan akan terus bertahan sehingga penggal tamat walaupun kerajaan pusat memilih untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

Sivamurugan berkata, apa yang berlaku ketika ini ialah kerajaan memerlukan jumlah kerusi yang signifikan untuk mentadbir negara dan untuk itu antara cadangannya adalah membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat.

"Mana-mana kerajaan memerlukan jumlah kerusi yang banyak dan itu juga yang berlaku pada negara kita.

"Literasi politik rakyat negara ini tinggi, namun agak kurang daripada segi perundangan.

"Mereka teruja memilih parti yang akan memerintah, tetapi tidak kepada sistem pilihan raya termasuk pilihan raya secara berasingan ini. Tetapi itu tidak bermakna ia tidak boleh berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:47 PM