GAMBAR hiasan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
GAMBAR hiasan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Saipul Adli Mohamad dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 647 kes positif Covid-19 import dalam kalangan pengembara termasuk rakyat Malaysia dan pemastautin tetap dikenal pasti di negara ini sejak 3 April lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu adalah ketika bermulanya tempoh penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dilaksanakan pada 1 April lalu.

"Pada fasa kedua PKP mencatatkan 31 kes positif dalam kalangan pengembara, fasa ketiga PKP mencatatkan 317 kes manakala fasa keempat mencatatkan lapan kes positif.

"Ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sebanyak 205 kes dicatatkan dan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, 86 kes dicatatkan," katanya menerusi kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tempoh itu kerajaan mewajibkan semua individu pulang dari luar negara untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin diwartakan di seluruh Malaysia iaitu mulai 3 April lalu.

Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan sebagai langkah kawalan dan pembendungan penularan kes import jangkitan Covid-19 daripada menular dalam komuniti.

Katanya, menuju ke arah pemulihan negara secara lebih menyeluruh iaitu daripada segi pemulihan sektor ekonomi dan kehidupan masyarakat Malaysia yang lebih menuju ke arah normal baharu, PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun lalu.

"Bermula 10 Jun lalu, individu pulang dari luar negara tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin, sebaliknya perlu menjalani kuarantin di tempat kediaman masing-masing selama 14 hari iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO).

"Sukacita dimaklumkan, sejak pelaksanaan HSO, belum ada lagi penularan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga individu positif Covid-19 selepas menjalani HSO di rumah masing-masing.

"Ini adalah tanda awal positif dalam pelaksanaan HSO, namun ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap HSO ditetapkan supaya tidak berlaku risiko jangkitan di dalam komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 5:51 PM