SAIFUDDIN (gambar arkib). FOTO Bernama
SAIFUDDIN (gambar arkib). FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


ORANG ramai harus mengetahui hak mereka untuk membuat aduan pada saluran yang ada sekiranya berdepan dengan sebarang isu penyalahgunaan serta penyebaran gambar serta video di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan menyebarkan video intim adalah tidak beretika serta salah dari segi undang-undang dan pengguna siber perlu tahu di mana laporan boleh dibuat.

Katanya, agensi di bawah kementeriannya bersedia membantu memandangkan, kepenggunaan siber sudah menjadi budaya masyarakat di negara ini, dan untuk itu peranan badan bukan kerajaan juga ditagih bagi mencari jalan penyelesaian.

"Saya tahu banyak aduan dibuat kepada agensi di bawah kementerian saya namun tiada tindakan, jadi di mana mereka hendak mengadu.

"Jadi ini mungkin satu daripada peranan badan bukan kerajaan untuk membantu. Perbuatan menyebarkan video berkenaan memang tidak beretika serta salah dari segi undang-undang. Pengguna juga harus tahu hak mereka," katanya selepas merasmikan pejabat Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes penyebaran video intim kepada orang ramai kerana faktor peribadi sehingga menjejaskan kehidupan orang lain.

Pada 29 Jun lalu, Harian Metro melaporkan nasib seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Lucy, 50-an kini buntu mengenangkan nasibnya selepas menerima mesej yang mahu bertanyakan harga untuk perkhidmatan seks yang ditawarkan anaknya.

Ia berpunca daripada video intim yang disebarkan bekas teman lelaki anaknya itu yang tidak berpuas hati selepas hubungan cinta mereka terputus di tengah jalan.

Sehingga kini, video berkenaan masih lagi disebarkan kepada kenalan terdekat menyebabkan Lucy dan anaknya malu untuk berdepan dengan orang ramai.

Selain membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dua beranak itu juga meminta bantuan aktivis masyarakat Azman Kang Abdullah kerana tidak tahan diganggu lelaki itu yang terus menghantar mesej kepada mereka.

Berita berkaitan

'Saya ibu kandung dia, saya bukan ibu ayam...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 1:59 PM