MENTERI Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) menyampaikan watikah MPKK kepada Pegawai Daerah Kuala Pilah. FOTO Mohd Amin Jalil.
MENTERI Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) menyampaikan watikah MPKK kepada Pegawai Daerah Kuala Pilah. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan meluluskan geran tambahan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebanyak RM3,000 menjadikan jumlah keseluruhannya kepada RM5,000 mulai tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah geran sebelum ini yang disalurkan kepada MPKK adalah sebanyak RM2,000.

Katanya, pihaknya berharap peruntukan tambahan itu dapat membantu MPKK mempergiatkan lagi aktiviti dan pengurusan kampung dengan lebih baik dan berkesan.

"Selain itu, kita (kerajaan negeri) juga bersetuju mengekalkan elaun bulanan anggota MPKK merangkumi elaun Pengerusi sebanyak RM900 dan Setiausaha (RM400) serta pengendalian dan kehadiran mesyuarat kedua-duanya sebanyak RM100 dan RM50.

"Kita bersetuju melantik MPKK penggal kedua tahun 2020/2021 berkuatkuasa 1 Mei lalu sehingga 30 April tahun depan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO, di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berharap rakyat negeri itu memberikan kerjasama kepada pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:11 PM