DR Zulkifli mendengar taklimat mengenai Sekolah Agama Al Falah yang terbakar Sabtu lalu. FOTO ROSELAN AB  MALEK
DR Zulkifli mendengar taklimat mengenai Sekolah Agama Al Falah yang terbakar Sabtu lalu. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


ISU laporan tidak tepat berkaitan pengurusan pendatang asing tanpa izin (Pati) disiarkan Al Jazeera tidak sepatutnya berlaku jika wartawan terbabit mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan semua pengamal media termasuk Al Jazeera supaya menyelidik terlebih dahulu sebelum menyiarkan berita yang boleh menimbulkan fitnah.

"Laporan berkenaan bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat antarabangsa, bahkan turut mencemarkan imej Malaysia yang sedang berusaha sedaya upaya memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19.

"Sebarang bentuk fitnah tidak sepatutnya berlaku tanpa disokong dengan bukti sahih kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kepincangan," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Sekolah Agama Al Falah, Batu Talam, Raub, yang terbakar terbakar, awal pagi Sabtu lalu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Raub, Datuk Muhammad Shahid Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Beliau berkata, pengamal media harus menjaga etika kerja dan membuat laporan dengan sebaiknya supaya berita disiarkan diterima dengan tenang dan bukan menimbulkan persepsi tidak baik.

Menurutnya, warga asing yang datang ke negara ini sepatutnya bersyukur kerana boleh hidup dengan aman damai dan meraih rezeki di sini.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk membantu membaik pulih sekolah berkenaan dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 9:34 PM