JAGDEEP Singh Deo (tengah) ketika sidang media di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
JAGDEEP Singh Deo (tengah) ketika sidang media di Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


KADAR pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk di negeri ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) didapati semakin baik.

Kadar berkenaan adalah susulan daripada pemeriksaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pelbagai sektor yang sudah dibenarkan beroperasi di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, di bahagian pulau negeri ini, kadar pematuhan berada pada tahap 99.68 peratus manakala di bahagian Seberang Perai pula ialah 99.28 peratus.

"Sehingga 5 Julai lalu, sebanyak 177,498 pemeriksaan sudah dijalankan MBPP dan 340,465 lagi di bawah MBSP membabitkan semua sektor yang dibenarkan beroperasi.

"Walaupun begitu, orang ramai diminta terus patuh kepada SOP yang ditetapkan sepanjang PKPP bagi kesejahteraan semua pihak," katanya tadi.

Mengulas lanjut Jagdeep berkata, penetapan SOP di Malaysia perlu dijelaskan dengan terperinci bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Katanya, sehingga kini terdapat 53 SOP yang ditetapkan di Malaysia menerusi pelbagai peringkat kementerian.

"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai kekeliruan tentang SOP yang ditetapkan sehubungan itu satu mesyuarat bersama agensi berkaitan akan diadakan minggu depan bagi memperjelaskan SOP berkenaan," katanya lagi.

Terdahulu, Jagdeep ditemui selepas Upacara Pengakuan Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis MBPP di Dewan Bandaraya, di sini.

Pada majlis itu, Rodziah Abul Khassim, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung selama 10 tahun telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MBPP di hadapan Datuk Bandaraya MBPP Yew Tung Seang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:05 PM