X
ANGGOTA bomba menyelamatkan lelaki yang terjun dari jambatan di Sungai Pasir Hor. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan lelaki yang terjun dari jambatan di Sungai Pasir Hor. FOTO ihsan Bomba
Siti Rohana Idris

ANGGOTA bomba mengambil masa hampir 20 minit dalam tugasan menyelamat lelaki yang terjun ke dalam sungai dan enggan diselamatkan, hari ini.

Lelaki dianggar berusia 50 hingga 60 tahun itu terjun ke dalam sungai di Pasir Hor 10.30 pagi tadi dan disedari orang ramai di lokasi sebelum pihak berkuasa dihubungi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihakna menerima panggilan pada 10.34 pagi dan 13 anggota termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Bharu.

"Ketika kami tiba, mangsa berada di bawah jambatan iaitu dalam sungai dan sebaik ternampak kami, dia kelihatan gugup dan seolah enggan dihampiri.

"Apabila anggota kami mendekatinya dan cuba untuk menyelamat, dia bertindak melawan dan sedikit meronta.

"Selepas kira-kira 20 minit tugasan menyelamat dibuat termasuk sesi memujuk. Mangsa dilihat sudah keletihan dan dengan kepakaran yang dimiliki, tugas menyelamat berjalan lancar," katanya ketika dihubungi, Kota Bharu, hari ini.

Mangsa yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 2:10 PM