RODIAH Hussin dibantu anaknya sulungnya, Nur Hidayah Rahmat, 16 (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RODIAH Hussin dibantu anaknya sulungnya, Nur Hidayah Rahmat, 16 (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


"HATI saya sering berdoa moga tiada perkara buruk menimpa sepanjang mencari rezeki untuk anak-anak," kata seorang ibu tunggal yang buta sebelah mata dan kini sebelah lagi semakin kabur akibat lapisan katarak menebal.

Mata kiri Rodiah Hussin, 42, langsung tidak dapat melihat akibat penyakit saraf yang diderita sejak lima tahun lalu sebelum disusuli dengan lapisan katarak yang semakin menebal di mata kanannya setahun selepas itu.

Mengakui ia semakin menyukarkan urusan hariannya, namun dia yang berasal dari Kampung Baru Nelayan, Tumpat tetap menjalani kehidupan seperti orang normal untuk meneruskan kehidupan menyara tiga anak-anaknya.

"Saya bekerja di bengkel kecil memproses keropok lekor tidak jauh dari rumah. Terhiris jari ketika menyiang ikan, luka akibat terlanggar sebarang objek sudah menjadi kebiasaan kerana pergerakan terbatas.

"Saya hanya bergantung kepada mata kanan sahaja untuk melihat namun dari sehari ke sehari ia semakin kabur kerana selaput semakin tebal dan pergerakan saya tak ubah seperti seorang yang buta secara keseluruhan.

"Makan nasi yang dihurung semut atau tercekik tulang ikan adalah perkara biasa kerana saya tidak nampak dan selalunya jika di tempat kerja, rakan yang akan membantu buang tulang ikan atau ayam ketika makan," katanya ketika ditemui di rumah sewanya, semalam.

Rodiah berkata dia bukan tidak mahu menjalani pembedahan untuk masalah kataraknya namun 'sesi berehat' panjang selepas pembedahan yang sekaligus menghalangnya dari bekerja dan akan menyebabkan terputus pendapatan.

Terdahulu dia menerima kunjungan daripada kumpulan aktivis masyarakat, Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf, yang diwakili Che Norhayati Mohamed menyampaikan sumbangan makanan.

Kata Rodiah, buat masa ini dua daripada tiga anaknya terutama yang sulung, Nur Hidayah Rahmat, 16, menjadi 'matanya' sama ada untuk menguruskan kerja rumah atau menghantarnya ke tempat kerja.

"Saya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan untuk skim orang kurang upaya (OKU) namun tidak mencukupi disebabkan perlu membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan.

"Upah yang diterima untuk kerja di bengkel keropok lekor pula sekitar RM20 hingga RM40 tapi bukan setiap hari bekerja kerana ia bergantung kepada bekalan ikan yang dibawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:36 PM