X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 45 individu yang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) gagal hadir ujian saringan kedua.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya kini masih dalam tindakan pengesanan semua kontak berkenaan.

"Pada 3 Julai lalu polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerima senarai nama 577 individu yang dikategorikan sebagai cicir iaitu gagal hadir ujian saringan kedua Covid-19 oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Bermula pada 4 Julai hingga 9 Julai lalu polis melancarkan tindakan pengesanan ke atas semua individu berkenaan," katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, hasil tindakan berkenaan polis berjaya mengesan seramai 532 individu yang menjalani HSO di kediaman masing-masing.

"Peratusan kejayaan adalah sebanyak 92 peratus manakala lapan peratus lagi individu yang gagal hadir ujian kedua kini sedang dikesan.

"Hasil pengesanan mendapati semua individu yang dikesan sudah melakukan ujian saringan Covid-19 kedua di klinik kesihatan yang berdekatan," katanya.

Menurutnya, ahli keluarga kepada individu yang diletak di bawah HSO juga perlulah memainkan peranan dengan menasihati dan memastikan mereka akur serta tidak melanggar arahan sehingga boleh mengakibatkan mereka dikenakan hukuman.

"Kerjasama semua pihak adalah diharapkan supaya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 11:50 AM