AIR ketum yang dirampas anggota PGA7. FOTO Ihsan PGA
AIR ketum yang dirampas anggota PGA7. FOTO Ihsan PGA
Syaherah Mustafa


TIGA sahabat yang leka memproses air ketum di sebuah rumah sewa dikejutkan dengan serbuan anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Taman Nering Jaya, Gual Tinggi di Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 7.30 malam itu, anggotanya bertindak menyerbu rumah terbabit atas maklumat serta risikan dan menemui 110 bungkus air ketum serta 62 botol ubat batuk bernilai RM2,030.

Katanya, ketika kejadian, dua daripada suspek berada di ruang tamu kediaman terbabit manakala seorang lagi berada di dalam sebuah bilik yang berkunci sedang merebus ketum.

"Sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pegawai yang bertugas terus membuat pemeriksaan rumah dan menemui besen berwarna biru mengandungi air ketum yang siap dibungkus di bahagian dapur rumah.

"Selain itu, pemeriksaan diteruskan lagi ke bilik yang lain dan turut menemui sebuah kotak coklat mengandungi 62 botol ubat batuk. Ketiga-tiga suspek berusia 22 sehingga 23 tahun, mengaku mengetahui keberadaan barangan terlarang di kediaman berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, mereka sudah lama bergiat aktif dalam kegiatan ini, namun baru tiga bulan menyewa rumah terbabit dipercayai dijadikan tempat memproses air ketum untuk dijual di sekitar Rantau Panjang," katanya.

Azhari berkata, pihaknya turut menemui wang bernilai RM1,200 di dalam serbuan itu.

Katanya, kesemua barangan dirampas dan ketiga-tiga suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Sebelum serbuan kes ini, kami turut merampas 66 bungkus air ketum bernilai RM660 yang disorokkan di belakang bonet kereta selain menangkap empat suspek warga tempatan pada hari sama, dalam operasi di Taman Desa Tasnim, Gual Nering.

"Kesemua kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 3:12 PM