Foto hiasan
Foto hiasan
Mahaizura Abd Malik

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 21 kes positif Covid-19 daripada 60,952 sampel pra pembedahan yang diambil sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, persampelan pra pembedahan adalah satu sistem survelan yang dijalankan di negara ini bertujuan mengesan awal jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti sebelum memberi amaran awal kepada pihak KKM untuk bertindak.

Menurutnya, survelan itu dijalankan ke atas populasi besar serta membabitkan lapisan masyarakat yang tidak bergejala.

"Individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu.

"Sehingga 10 Julai 2020, sebanyak 60,952 sampel pra pembedahan diambil dan daripada jumlah itu, 21 kes didapati positif Covid-19 (kadar positif adalah 0.03 peratus).

"Peratusan kes positif kekal rendah walaupun jumlah persampelan yang tinggi menunjukkan penularan Covid-19 adalah terkawal di dalam negara," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, sistem survelan yang dinamik berkenaan adalah proksi yang bagus untuk menggambarkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

"Ini adalah kerana ia meliputi semua kelompok masyarakat dan dijalankan ke atas individu yang tidak bergejala.

"Pihak KKM akan terus memantau kes Covid-19 di dalam komuniti dan memastikan kes dikesan awal dan penularan jangkitan Covid-19 dapat dibendung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:51 PM