X
Gary Ashraf Ratnam Abdullah
Gary Ashraf Ratnam Abdullah
Mohd Amin Jalil

BEKAS deejay radio tempatan, Gary Ashraf Ratnam Abdullah, 55, atau dikenali sebagai Scam Boy ditemukan mati di kediamannya di Seremban hari ini.

Bekas deejay Traxx.FM itu ditemui pada 10.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai satu kes kematian sebelum anggota polis ke lokasi terbabit.

Menurutnya, pihaknya kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan, Allahyarham dikatakan memeluk Islam sebelum berkahwin dengan pilihan hatinya.

Gary sebelum ini popular dalam program Morning Zoo dengan panggilan 'Gary, the Scamboy' di Traxx FM bersama rakannya '1 Singh' yang diperkenalkan pada 2011.

Traxx.FM adalah radio berbahasa Inggeris di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 11:10 PM