Haniza Mohamed Talha (tengah) ketika merasmikan Nation Of Women Negeri Sembilan di d'SORA Boutique Business Hotel. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Haniza Mohamed Talha (tengah) ketika merasmikan Nation Of Women Negeri Sembilan di d'SORA Boutique Business Hotel. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


BEKAS Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Mohamed Talha belum bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik selepas dipecat daripada parti itu, pada 29 Jun lalu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya itu berkata, beliau mahu 'berehat' seketika buat masa ini.

"Saya ingin melihat dulu keadaan politik negara ketika ini kerana tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa (menyertai mana-mana parti politik).

"Walaupun ada beberapa pemimpin parti mempelawa saya menyertai mereka, saya kena meneliti terlebih dulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Buat sementara ini, saya ingin memberikan tumpuan kepada NOW (Nation Of Women) bagi membela kaum wanita dan masyarakat keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan NOW Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Mengulas mengenai pandangan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa parti itu tidak lagi relevan apabila tidak bersikap adil terhadap pemecatan ahlinya, Haniza menyokong kenyataan berkenaan.

Beliau mendakwa, ia berpunca daripada sikap dalam kalangan pemimpin PKR yang tidak matang.

"Saya melihat penggantungan atau pemecatan dibuat secara rambang terutama mereka yang berbeza kefahaman (ideologi). Walaupun sebagai ahli, tetapi mereka menerima layanan berbeza.

"Perkara ini dilihat janggal dan ia suatu kesilapan serta kelemahan berlaku dalam parti kerana PKR adalah parti reformasi dalam mempertahankan hak ahli untuk mendapatkan keadilan.

"Jika berterusan sedemikian, ramai akan rasa tidak selesa berada dalam parti," katanya.

Pada masa sama, Haniza menyifatkan pelucutan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor sebagai keras kerana ia berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, walaupun sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku selepas beliau dipecat daripada PKR, tarikh berkuatkuasa pelucutan jawatan berkenaan dibuat terlalu singkat.

"Saya menerima surat pelucutan jawatan itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Sulit pada 6 petang 10 Julai (Jumaat) dengan tarikh pelucutan jawatan itu berkuat kuasa 11 Julai (semalam).

"Saya lihat ia seperti luar daripada amalan biasa sedangkan ada Exco sebelum ini yang terbabit dengan pengosongan jawatan tidak dikenakan seperti itu.

"Tambahan pula, sebelum itu saya sudah meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya memberi tempoh untuk saya menyerahkan tugas dan menyelesaikan sebarang perkara tertangguh," katanya.

Beliau turut hairan apabila pejabatnya dirantai dan dikunci tanpa sempat dia membawa keluar barangan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:46 PM