GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Audrey Dermawan


LELAKI ditemui mati dalam bilik air di sebuah hotel di Taman Sri Jaya, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, satu nota meminta pemiutang agar tidak menuntut hutang daripada ahli keluarganya turut ditemui dalam bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat terdapat seorang lelaki mengunci diri dalam bilik.

Menurutnya, sepasukan polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa melemaskan diri dengan membakar lilin yang digunakan untuk perkhemahan dalam sebuah pasu di dalam bilik air.

"Mangsa juga didapati menutup semua lubang pengudaraan dengan menggunakan pita pelekat.

"Lelaki terbabit ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air dan meninggalkan satu nota meminta pemberi hutang agar tidak menuntut hutang daripada ahli keluarganya," katanya.

Menurutnya, pasukan perubatan Hospital Bukit Mertajam (HBM) kemudian mengesahkan mangsa mati akibat sesak nafas.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian tiada unsur jenayah dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 8:32 PM