DATUK Dr Norlizan Mohd Noor melihat produk sarang burung walit di Melaka Raya hari ini. FOTO Amir Mamat
DATUK Dr Norlizan Mohd Noor melihat produk sarang burung walit di Melaka Raya hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


NILAI eksport sarang burung walit di negara ini dijangka meningkat 300 peratus kepada RM3 bilion tahun ini berbanding RM1.154 bilion tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, peningkatan nilai eksport berkenaan disebabkan keupayaan negara mengeluarkan sarang burung walit berkualiti tinggi serta kedudukan Malaysia yang menerajui pasaran luar produk itu khususnya di China.

Katanya, sarang burung walit antara komoditi eksport terbesar di negara ini berbanding komoditi lain meliputi penghantaran produk sarang burung wallet bersih, belum bersih dan produk bahan tambahan.

Katanya, sebanyak 35 loji pemprosesan mendapat kelulusan sebagai pengeksport bahan itu manakala 21 syarikat lagi masih menunggu kelulusan dari pihak berkuasa China.

PRODUK sarang burung walit di Melaka Raya hari ini. FOTO Amir Mamat
PRODUK sarang burung walit di Melaka Raya hari ini. FOTO Amir Mamat

"Kerajaan sedang menunggu laporan akhir daripada China untuk membolehkan beberapa lagi loji pemprosesan sarang burung walit belum bersih dihantar ke negara berkenaan.

"Ini adalah produk di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang terbesar nilai eksport berbanding komoditi lain," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konsainan Terbesar Sarang Burung Walit Belum Bersih ke China di Melaka Raya, hari ini.

Norlizan berkata, setakat ini, sebanyak 11,584 premis walit sudah didaftarkan serta menerima Pensijilan Amalan Perladangan Pertanian Yang Baik (MyGap).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 2:57 PM