X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

MISTERI bau busuk daripada sebuah unit kediaman di Pangsapuri Indah Bay, Tanjung Bungah di Georgetown terjawab susulan penemuan mayat lelaki yang sudah kembung dan hampir reput, malam tadi.

Mayat Dexter Macarten Estrop, 59, ditemukan dalam keadaan duduk di atas sofa ruang tamu rumahnya oleh pihak polis selepas menerima panggilan daripada jirannya pada pukul 10.45 malam yang memaklumkan terdapat bau busuk daripada rumah mangsa sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis terpaksa meminta bantuan pihak bomba untuk masuk ke rumah lelaki terbabit kerana ia berkunci.

"Menurut jirannya itu, dia cuba mengesan punca bau busuk itu sebelum mendapati ia datang dari rumah lelaki berkenaan. Wanita itu menghubungi polis dan kami meminta bantuan bomba untuk memecahkan kunci mangga kerana ia berkunci.

"Keadaan dan persekitaran rumah mangsa menunjukkan tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan atau unsur jenayah. Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu adalah seorang duda yang baru berhenti kerja Januari lalu dan berdasarkan keadaan mayat lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia empat atau lima hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:17 PM