X
ZAINUDDIN. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAINUDDIN. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

POLIS Kedah akan memperhebatkan Op Penjawat Awam dan Op Duri bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah membabitkan penjawat awam dan anggota polis di negeri berkenaan.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, setakat ini 10 penjawat awam ditangkap kerana terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Katanya, Op Penjawat Awam yang dilakukan pihaknya itu adalah hasil kerjasama dengan jabatan atau agensi kerajaan di seluruh Kedah.

"Selain sasaran diberikan majikan, polis sendiri hadir ke jabatan kerajaan berkenaan untuk melakukan ujian saringan.

"Majikan yang nampak kakitangannya bermasalah, kerap tidak datang kerja atau mengalami kemurungan, tidak terurus dan sebagainya boleh memaklumkan kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar.

Mengulas mengenai Op Duri yang dikhaskan kepada anggota atau pegawai polis yang terbabit dalam penagihan dadah, Zainuddin berkata, pihaknya memang serius membersihkan jabatan daripada masalah berkenaan.

"Kita juga tidak berkompromi sekiranya ada anggota atau pegawai polis yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Kita kesan mereka melalui Op Duri yang dikhaskan untuk anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya

Zainuddin berkata, beliau sentiasa mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah .

"Tahun lalu, dua anggota dalam Kontinjen Kedah ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Mereka sudah diambil tindakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia mengingatkan anggota dan pegawai polis di Kedah supaya tidak terbabit atau menjadi dalang kepada kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin (Pati) terutamanya membabitkan etnik Rohingya.

"Tindakan tegas menanti mereka yang bersekongkol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:38 PM