Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


HARI kedua persidangan Dewan Rakyat dimulakan dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) diminta memohon maaf dan menarik balik perkataan 'gelap' dan 'pakailah bedak' yang digunakannya semalam.

"Saya telah meneliti 'Handsard' kejadian tersebut dan mengambil keputusan perkataan dikeluarkan 'offensive' dan ingin mengarahkan YB Baling memohon maaf serta menarik balik.

"Saya harap Baling dan semua ahli dewan tidak menggunakan kata kesar lagi, berbaur perkauman dan rasis," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Abdul Azeez akur dan berkata, beliau tiada sebarang niat untuk memanggil sesiapa gelap kerana beliau sendiri berwarna kulit begitu.

"Dua tahun saya duduk di situ (tempat YB Batu Kawan), tempat yang sama, di situ gelap dan selalu tidak mendapat perhatian.

"Maksud saya kawasan itu gelap. Saya tidak sama sekali memanggil sesiapa gelap, diri saya sendiri Allah takdirkan gelap. Bagaimanapun, saya menarik balik dan memohon maaf," katanya.

Persidangan semalam kecoh apabila Abdul Azeez dikatakan rasis dan seksis apabila mengatakan gelap kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto gelap dan menyuruh pakai bedak.

Mengulas penjelasan Abdul Azeez, Kasthuriraani meminta Azhar Azizan lebih tegas kerana ia kesalahan berulang yang kerap berlaku.

ABDUL Azeez Abdul Rahim. FOTO siaran langsung RTM
ABDUL Azeez Abdul Rahim. FOTO siaran langsung RTM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:44 AM