GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SELANGOR menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan larangan aktiviti merokok termasuk rokok elektronik serta meminum arak di taman awam di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta merta.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata penguatkuasaan larangan baharu itu dimasukkan ke senarai kesalahan di Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor.

"Pada masa ini, senarai kesalahan di UUK Taman tidak dinyatakan berkenaan aktiviti meminum arak dan merokok sebagai satu aktiviti yang dilarang.

"Dengan pindaan UUK Taman 2005 ini, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman permainan serta taman rekreasi di seluruh negeri ini," katanya pada sidang media di hari ini.

Beliau berkata, gaya hidup yang sihat semakin menjadi amalan dan keutamaan rakyat justeru taman permainan dan taman rekreasi semakin kerap dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas untuk beriadah, bersukan serta melakukan aktiviti kekeluargaan.

"Demi keselesaan dan kesihatan pengunjung lebih-lebih lagi pada pasca Covid-19, maka kini tiba masa untuk melarang aktiviti minum arak dan merokok di taman permainan dan taman rekreasi mengikut UUK Taman.

"Penguatkuasaan undang-undang berkenaan akan dilaksanakan oleh PBT dan saman maksimum RM1,000 boleh dikenakan kepada pengunjung yang ingkar dengan larangan yang ditetapkan," katanya.

Sze Han berkata, penguatkuasa PBT akan mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagaimanapun, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada PBT masing-masing sekiranya melihat salah laku berkenaan di taman awam.

"Sebagai permulaan, kita mungkin akan memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 3:13 PM